Kadang kau sangka dunia cuba menduga. Kadang kau fikir dunia sedang menghina. Sedang kau lupa dunia membaca. Setiap apa yang kau buka. Yang kau paparkan pada dunia. Yang kau zahirkan pada semua. Itulah yang menjadi tafsiran minda.
Kau adalah apa yang kau bicara. Pakaian, makanan, menzahir kau siapa. Jangan diherdik pada yang mencerca. Cerminkan diri mana kurangnya. Mereka berkata apa yang dirasa. Mereka merasa fikiran minda. Minda belajar daripada mata. Mata membaca zahirnya rupa. Rupa kau pampang pada mereka. Jangan didendam tafsiran manusia. Apa kau tunjuk itu yang diteka. Masakan najis berbau bunga? Tidak kan khinzir dikata naga. Tiada senyum disangka duka.
Kau ingin ditafsir mulia?
Mahu diangkat dijulang dipuja?
Maka laksanakan yang sebaiknya. Tuturkan semanis-manis kata. Bertingkah molek dengan saudara. Selagi jasad berisi nyawa. Belum terlambat menyembuh luka. Masih kau sempat perbaiki jiwa. Menjadi insan berjiwa hamba. Dikasihi makhluk dan Maha Esa..